“Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.” Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi

Thursday, 8 August 2013

25 Tips Raikan Syawal Menurut Islam




Malam Aidil Fitri


1. Banyakkan bertakbir.
Mulakan selepas salam pada solat Maghrib dikuti dengan bertahmid, bertasbih Takbir boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama-sama keluarga. Pada zaman Rasulullah SAW takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.

2. Berdoa dan berbuat kebaikan pada malam raya.
Imam Syafie berkata doa itu mustajab pada lima malam berikut iaitu Malam Jumaat, malam Hari Raya Aidilfitri, Malam Hari Raya Haji, Malam Awal Bulan Rejab dan Malam Nisfu Syaaban.

3. Berqiamulail.
Kalau tak berqiam pun (ada pandangan yang menolak disebabkan hadis di bawah, hadis daif) sekurang-kurangnya jangan terlupa langsung solat sunat qabliah ba’diah, Lebih teruk lagi tak solat langsung dah disebabkan bakar lemang atau masak ketupat. Niat nak buat maksiat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi, batalkanlah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, hatinya tidak mati pada ketika hati mereka yang lain mati.”

Siang Aidil Fitri


4. Jangan berpuasa pada siang 1 Syawal kerana hari itu, Allah haramkan kita berpuasa.

5. Jangan kongsi raya dan jangan menganggap Aidilfitri sama dengan perayaan-perayaan lain.

6. Kemaskanlah diri.
Gunting-guntinglah rambut yang nampak dan yang ‘tak nampak’. Bersihkanlah daki-daki badan termasuk anggota badan lain seperti kuku kaki dan tangan.


7. Disunatkan mandi pagi.
Hal ini dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar dalam kitab al-Muwatta’, bahawa Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bergerak ke masjid.

8. Sunat memakai pakaian yang terbaik dan tercantik, walaupun tak baru. Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah SAW mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.

9. Kalau mampu, pakailah pakaian yang baru beli.
Jangan simpan baju raya untuk bawa berjalan ke rumah orang atau mengorat anak dara/teruna orang. Sunat bawa ke masjid.

10. Sunat mengenakan haruman (tidak kepada wanita).
Kalau yang kalut tu. Pagi-pagi raya dok cuci kereta, basuh motor atau bakar lemang lagi, elok taruk banyak-banyak sikit minyak wangi atau mandi sekali lagi.

11. Makan terlebih dahulu.
Sebelum berangkat ke masjid makanlah dulu. Jangan habiskan semua kurma dalam bulan Ramadan. Simpan sikit untuk 1 Syawal. Sebuah hadis dari Anas bin Malik telah menjelaskan bahawa Baginda SAW makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

12. Sebelum solat bermaaf-maafan dengan keluarga.
Betullah, tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita bermaaf-maafan. Cuma apabila berada pada hari kebesaran Islam ini eloklah kita gunakan kesempatan tersebut, untuk mengikis perasaan ego dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan saudara-saudara kita. Bukan senang nak jumpa, nak peluk cium dan sebagainya. Kalau nak bergambar pun, bergambarlah sekeluarga masa ini. Lepas raya dah berterabur, pakatpakat berjalan belaka.

13. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain.
Hikmahnya agar bertemu ramai orang. Maklumlah bukan selalu balik. Rupa pun dah berubah. Berkenal-kenalanlah kalau berselisih dengan orang. Tengok-tengoklah jalan kampung yang semak dengan lalang atau jalan berlubang, jambatan patah dan lain-lain. Jangan tunggu YB. Hulurkan duit lebih dalam tabung masjid.

14. Lambatkan solat sunat Aidilfitri.
Lambatkanlah sedikit solat. Pesan kat tok imam yang gilirannya bertugas. Jangan bertukar dengan solat hari raya korban. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

15. Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah.
Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah.

16. Surah yang dibaca dalam solat
Bagi yang terlupa, di dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan membaca surah al-’Ala pada rakaat pertama dan al-Ghasyiah pada rakaat kedua.

17. Solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah.
Jangan tertukar. Maklumlah setahun seklai. Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma

18. Dengar Khutbah.
Kemuncak Hari Raya Aidil Fitri, bukan baju baru, kuih raya, lemang atau ketupat. Tak ada pun tak mengapa. Kemuncaknya ialah mendengar khutbah. Jangan jadi macam budak-budak belum habis salam lagi berderau enjin motor balik. Kadang-kadang bapak budak lebih daripada anak lagi.

19. Solat di lapangan, terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran tersebut seperti riawayat Ummi ‘Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

Selepas Solat


20. Mendoakan orang lain.
Jangan sekadar ucap Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin sahaja hingga terlupa ucapan yang lebih bermakna daripada itu. Ucapkanlah tahniah dan selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang Ramadan lepas diterima Allah. Lafaznya: Taqabbalallahu Minna wa Minkum Soleh al-’Amal.

21. Bermaaf-maafan dengan yang kenal dengan yang tidak.
Jangan memilih untuk bersalaman. Bersalm dan bermaaf-maafan dengan semua orang. Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah, dan tidaklah bertambah di sisi Allah SWT bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh Allah SWT (Riwayat Muslim)

22. Ziarah-menziarahi sesama Muslim.
Selepas solat jangan terus balik. Elok pergi rumah guru-guru dulu. Inilah sebabnya Baginda SAW mengambil yang lain sewaktu pulang daripada solat tersebut. Hikmahnya singgahlah dulu rumah sahabat-sahabat dan jiran tetangga yang ditemui atau diziarahi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan beroleh kemenangan berpuasa selama sebulan Ramadan.

23. Bersedekah – pemberian duit raya.
Soalnya adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya?
Kalau dah rajin bagi sedekah sebelum raya dan hari raya pun bagi sedekah itu ibadah. Andai seumur hidup atau setahun sekali baru bagi sedekah itu namanya adat. Sedekah itu ibadat bukan adat.

Harus diingat, sedekah tidak hanya duit raya, kuih raya juga sedekah, gula-gula juga sedekah untuk anak-anak bagi yang tak mampu. Yang penting ialah ikhlas dan menghargai kesungguhan mereka berpuasa. Tanyalah dulu berapa hari puasa. Kalau puasa penuh bagilah RM30 seorang. RM1 sehari. Ah, cadangan sahaja. Utamakan juga kepada anak-anak, isteri, suami, ibu bapa dan mertua.

24. Menziarahi Kuburan.
Tak salah menziarahi kubur. Bukankah ia sunah yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad SAW supaya ingat mati. Dalam sepotong hadis, Baginda menegaskan: Aku dahulunya pernah melarang kamu semua menziarahi kubur, sekarang ziarahlah ia, lantaran ia dapat mengingatkan kamu dengan Hari Akhirat. (Riwayat Muslim)

Isunya kenapa pagi Hari Raya Aidilfitri? Kalau dah balik awal ke kampung, ziarahlah awal-awal sikit. Bersihkanlah mana yang patut. Kecuali kalau ‘mobile’, pagi raya tu baru sampai kampung. Petang dah nak balik rumah mentua-mentua yang lain. Bolehlah tengok sekejap.

Orang bandar bukan selalu balik kampung kan? Masalahnya orang kampung situ pun ziarah kubur pada hari raya juga. Itu taklah jadi ibadat, maka ia akan jadi adat dan taku-takut jatuh khurafat pula.

25. Boleh ke raya pada 1 Syawal sahaja?
Boleh ‘Raya’ sebulan selagi amalan itu tidak bertentangan syariat, cuma dalam Islam Aidil Fitri hanya 1 Syawal sahaja. 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Buatlah puasa sunat enam syawal cepat-cepat. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW ; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Wallahu ‘A’lam. Tips-tips ini boleh dicabar kewibawaannya dan boleh dibincang-bincangkan lagi. Moga boleh jadi rujukan. – al-Kurauwi

No comments:

Post a Comment