“Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.” Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi
Showing posts with label Ceritera. Show all posts
Showing posts with label Ceritera. Show all posts

Thursday, 3 October 2013

“Pakcik, Izinkan Saya Berzina Dengan Anak Pakcik?”


Di suatu kawasan perumahan di pinggir bandar.. Ada satu pasangan kekasih ini nak keluar berdating. Setibanya si pakwe di hadapan rumah makwenya… maka berlakulah dialog berikut..

Gadis : Masuklah dulu, jumpa dengan ayah saya.

Teruna : Boleh ke?
Gadis : Masuk je lah, saya nak bersiap

Menyusup masuk si teruna melalui pintu utama. Pintu yang siap terbuka mengalukan-alukan kedatangan si Teruna.

Teruna : Assalamualaikum.

Bapa Gadis : Waalaikumusalam.

Melihat pada lantangnya suara bapa si gadis, terus si teruna kaku membatu. Lantas si gadis menarik tangan si teruna menyedarkan dari lamunan itu.

Gadis : Mari, duduk kat kerusi ini.

Teruna : Eh..

Setelah tangan dihulur dan salam bertaut, duduklah si teruna di kerusi hampir menghadap bapa si gadis. Hanya surat khabar yang menjadi tabir antara mereka.

Bapa Gadis: Nak jalan kemana hari ni?

Teruna : Bandar je pak cik, dia nak carik barang katanya. Barang apa tak taulah saya

Bapa Gadis : Oh..

Teruna : ??

Hampir 5 minit senyap tanpa suara. Dan ibu si gadis keluar dari tabir ruang utama dan ruang belakang membawa air serta biskut kering. Si teruna senyum kelat.

Ibu Gadis : Minum la ni sikit. Kamu sudah sarapan?

Teruna : Ehh. Sudah cik. Terima kasih.

Ibu Gadis : Kamu ni malu-malu pula dengan kami.

Teruna : Segan cik. Hehe

Bapa Gadis : Bila kamu nak hantar rombongan?

Ibu Gadis: Eh.. Apa ayahnya ni?

Teruna : Ehh. Duit takde lagi. Hehe

Bapa Gadis : Kamu bawa anak kami kehulu-kehilir. Apa orang kata nanti?

Teruna : (Eh. Malu ngan orang ke malu ngan Allah, lagi takut orang kata dari Allah yang menghukum) Kami naik kereta je cik, tak de la nampak berkepit sangat. Boleh saya tanya cik sikit.

Bapa Gadis : Boleh takde masalah

Teruna : Pakcik ngan makcik nak letak wang hantaran berapa ye?

Bapa Gadis : Kalau boleh 20 ribu

Ibu Gadis : Ehh. Tak kisah la, tapi kalau boleh makcik nak lebih tinggi sikit dari orang sebelah ni

Teruna : Berapa tu mak cik?

Ibu Gadis : Dalam 25 ribu ke atas dan dulang 25 ke atas pihak lelaki

Teruna : (Amboi, ko melantak dulang ke ape? Wuhaa.. 25 ribu. Mana nak dapat? Aduh..) Tingginya mak cik, tak boleh rendah lagi ke?

Bapa Gadis : Itu nasib kamu la, kamu yang nak kat anak kami. Lagipun dialah satu-satunya anak perempuan kami, kene lah market sikit. Nak grand-grand camtu.

Si teruna hampir hilang akal apabila disebutkan harga si gadis itu. Dan si teruna cuba berbincang untuk merendahkan harga si gadis.

Teruna : Erm.. Kenapa anak pak cik tak pakai tudung?

Bapa Gadis : Itu kenalah tanya maknya

Teruna : (Ehh. Boleh pas-pas pulak dah)

Ibu Gadis : Ehh. Awak lah. Apa pulak saya. Awak yang sepatutnya didik anak

Bapa Gadis : Saya kan kerja. Mana ada masa

Teruna : (Pulak dah, gaduh nanti) Ehh-ehh. Makcik pakcik. Kita lupakan dulu soalan tadi sebab kalau ikut makcik pun tak tutup kepala jugak. Maksudnya lebih kurang jugaklah. Nak tanya lagi, anak pak cik pandai masak tak?

Bapa Gadis : hmm.. haram. Tau-tau bangun tido pukul 12 lebih, bukan bangun pagi dah tu. Bangun tengahari. Terus makan tengahari.

Ibu Gadis : Apa la ayahnya, orang ni nak buat anak kita bini, dia cerita buruk-buruk pulak.

Bapa Gadis : Maknya pun sama suka bangun lambat juga.

Ibu Gadis : Abahnya!

Teruna : (kah kah kah.. bengong. Camtu pun nak cerita) Hehe.. Okeh. Soalan lagi. Boleh tak dia baca quran?

Ibu Gadis : Boleh sikit-sikit kot

Teruna : Kali terakhir bila?

Ibu Gadis : Err. Darjah 1 agaknya.

Teruna : hmm..

Ibu Gadis : Kenapa?

Teruna : Takda apa makcik. Soalan cepumas. Dia solat tak?

Bapa Gadis : Apa motif kamu tanya semua ni. Dia kan selalu ikut kamu. Kamu tau la.

Teruna : Kalau kat luar saya ajak dia solat, dia cakap datang bulan. Hari-hari datang bulan. Dia tau solat atau tak?

Hampir terkedu si bapa dan si ibu. Dan pada raut wajah mereka berdua terdapat tanda-tanda kemerah-merahan menahan amarah.

Teruna : Boleh saya sambung lagi. Dia tak reti masak, tak reti solat, tak reti mengaji, tak reti nak tutup aurat sebelum dia jadi bini saya lagi. Dosa-dosa dia terang-terang pegi kat makcik ngan pakcik. Lagipun tak berbaloi harga 25 ribu untuk dia. Lainlah dia ni ‘hafizah’, 30 juzuk dalam kepala, bertutup litup habis dari bawah sampai ke atas dan tau jaga batas, haa.. itu barulah berbaloi 100 ribu pun saya sanggup bayar. Tapi orang macam tu kalau kahwin mereka memilih untuk serendah-rendah mahar. Sebab sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar.

Mata bapa si gadis direnung tajam oleh mata ibu si gadis.

Ketiga mereka menundukkan kepala. Lumrah adat untuk menjadikan anak perempuan untuk dijadikan objek pemuas nafsu hati menunjukkan kekayaan serta bermegah-megah dengan apa yang ada. Terutamanya pada majlis perkahwinan.

Adat mengatasi agama. Dibiarkan anak perempuan dihias dan dibuat pertunjukkan di khalayak ramai. Sedang pada waktu itu akad telah dilafaz si suami, dan segala dosa anak perempuan sudah mula ditanggung oleh si suami.

Amatlah rugi. Mahar berpuluh ribu dibayar pada isteri dan sepatutnya hanya si suami seorang yang berhak melihat, tetapi pada hari pertama perkahwinan iaitu semasa persandingan sahaja berpuluh ribu mata yang melihat si isteri. Seolah-olah si suami membayar mahar untuk mereka sekali.

Bapa Gadis : Tapi kan. Pakcik nak anak pakcik rasa sekali. Benda seperti tu kan sekali seumur hidup.

Teruna : Pakcik nak anak pakcik rasa ke pakcik yang rasa grand?

Ibu Gadis : Tentulah kami berdua pun turut gembira.

Teruna : Ye ke? Pakcik, makcik, saya bukan apa. Sekarang dosa anak pakcik, pakcik yang tanggung. Esok lusa lepas akad nikah terus dosa dia saya yang tanggung. Pastu pakcik nak buat bersanding pulak. Setiap mata yang memandang saya akan dapat dosa. Lagilah saya berdosa sangat-sangat.

Ibu si gadis segera mengambil langkah mudah dengan menarik diri daripada perbualan itu. Si ibu tahu, si teruna bercakap menggunakan fakta islam. Dan tidak mungkin ibu si gadis dapat melawan kata si teruna itu.

Bapa Gadis : Kau memandai pulak nak cakap agama ngan kami.

Teruna : Ehh. Maaflah pakcik. Bukan saya nak cakap pasal agama. Tapi itulah hakikat sebenar. Kita terlalu pandang pada adat sampai lupa agama.

Bapa Gadis : Camni lah. Kamu sediakan 25 ribu, ngan 31 dulang. Kalau takde, kamu tak boleh kahwin ngan anak aku!

Teruna : Lama lagilah camtu. Dalam umur saya 30 lebih, baru dapat masuk meminang. Kalau camtu pakcik, ‘izinkan saya berzina ngan anak pakcik’?

Bapa Gadis : Hoi! Kau dah melampau, ko baik-baik sikit cakap tu. Jangan main sedap mulut je.

Teruna : Dengar dulu penjelasan saya pakcik. Pakcik tau tak apa sebab orang berzina dan banyak anak luar nikah? Sebab benda ni lah pakcik. Selalunya ibu bapa perempuan yang meletakkan berpuluh ribu ringgit sampaikan pihak lelaki terpaksa menangguh hasrat untuk berkahwin.Tetapi cinta dan nafsu kalau tidak diiringkan dengan betul, syaitan yang jadi pihak ketiga untuk menyesatkan manusia. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas memuaskan nafsu serakah dengan berzina. Mula-mula memang ringan-ringan dahulu pakcik, pegang-pegang tangan, peluk-peluk, pegang pinggul, dan sebagainya. Tapi lama-lama jadi berat-berat. Yang berat-berat tu pakcik sendiri pun boleh bayangkan.

Bapa Gadis : Apa kaitan kamu nak berzina pula

Teruna : Ye lah. Dah pakcik tak bagi kami kahwin sekarang, biar ada duit dulu baru boleh kahwin. kami nak lepaskan nafsu camna pakcik? Tiap hari saya tengok dia, dia tengok saya. Susah pakcik. Nafsu.. Sebab tu saya dengan rendah hati minta izin pada pakcik untuk berzina ngan anak pakcik. Apa yang penting pakcik tahu yang saya dan dia nak berzina. Sebab rata-rata orang yang berzina ni ibu bapa tak tau. Nampak je biasa-biasa sedangkan da berzina. Err.. berzina bukan sahaja yang ehem-ehem je. Ada yang zina-zina ringan. Tapi sebab ringan tu yang akan jadi berat.

Bapa Gadis : Hmm.. Kamu ni peliklah. Nasib baik pakcik cool je. Kalau orang lain, da lama angkat parang. Tapi kalau takde duit, camna kamu nak bagi dia makan

Teruna : Hehe.. Pakcik. Pakcik lupakah dengan apa yang telah Allah bagitau?

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”
( TQS An Nuur 32).

Takkan la kita tak yakin dengan apa yang Allah janjikan. Lagipun pakcik, kalau makan dan minum tu insyaAllah, berdaya lagi untuk saya beri pada dia.
Tempat tinggal tu kita boleh bincang lagi. Kalau benda ni boleh menghalang kami dari melakukan perkara dosa dan sia-sia. Baiklah disegerakan. Pakcik pun tak mau perkara-perkara tak elok kan.

Senyap tanpa kata bapa si gadis, merenung kata-kata si teruna. Segera bapa si gadis memikirkan cara untuk mematahkan kata-kata si teruna. Dan bapa si gadis mendapat akal.

Bapa Gadis : Kamu tau la zaman sekarang ni. Kalau ikut cara kamu tu. Mungkin kamu tak suka dengan persandingan, pakcik boleh terima. Tapi kamu kena la ambil kira apa orang lain yang akan kata. Tau-tau orang akan mengata anak aku kena tangkap basah dan kena nikah paksa dengan kamu. Mana nak letak muka ni.

Teruna : Bagus juga cadangan pakcik tu. Kena tangkap basah 2 ribu je denda. Kat Malaysia TAKDE HUDUD, dan kalau untung. Boleh nikah masa tu jugak. Bagus-bagus.

Bapa Gadis : Serius lah sikit.

Teruna : Betul dah tu pakcik. Hehe. Tapi pakcik, saya tak kata pun takde walimatul urus. Sedang walimatul urus itu perlu untuk hebahkan yang anak-anak dah kahwin. itu cara islam. Ok. Tapi yang tak oknya, bersanding tu hahh. Kesian saya pakcik, saya seorang bayar mahar untuk anak pakcik, orang lain pun dapat tengok. Siap kalau berhias secara berlebihan dan orang lain yang lihat menaikkan nafsu syahwat mereka, saya yang berdosa pakcik. Saya yang tanggung dosa dia. InsyaAllah pakcik. Kita bukan nak buat apa pakcik. Syariat memang camtu. Maha baiknya Allah sebab jaga kita selama ini, tapi benda remeh-temeh camni pun kita masih pandang ringan dan kita tak menjaga apa yang telah Allah janjikan. Susah lah camtu pakcik.
Maaflah kalau ada kata saya yang membuat pakcik kurang senang dengan saya. Segala-galanya kita serah pada Allah, kita merancang je.

Azan zohor berkumandang, jaraknya tidak sampai 10 meter dari surau berdekatan rumah si gadis. Si teruna memohon untuk ke surau dan mengajak bapa si gadis untuk pergi bersama. Namun ajakan ditolak dengan lembut.

Lantas si teruna memberi salam dan memohon untuk keluar. Di birai tingkap bapa si gadis melihat si teruna mengeluarkan kopiah dari poketnya dan segera di pakainya. Masuk ke dalam kereta dan hilang dari penglihatan bapa si gadis tadi.

Sedang si gadis yang sedari tadi berdiri di balik tirai bersama ibunya menitiskan air mata mendengar luahan kata-kata si teruna terhadap ayahnya. Tudung pemberian si teruna sebagai hadiah pada hari jadinya yang lepas digenggam erat.

Ibu si gadis juga menitiskan air mata melihat pada kelakuan anaknya. Segera ibu dan si gadis ke ruang tamu menghadap ayahnya.

Ibu Gadis : Apa yang budak tu kata betul. Kita ni tak beratkan pada agama selama ni. Kita sambil lewa abahnya.

Bapa Gadis : Hmm.. ntahlah, tak tahulah saya. Keras betul budak tu kata tadi. Satu-satu kena. Dia pesan tadi, suruh bersiap, lepas zohor dia amik kamu.

Gadis : Takde mood nak pegi la ayah. Ntah..

Si gadis terus mencapai telefon bimbitnya dan menaip mesej.

Si teruna yang selesai mengambil wuduk tersenyum apabila membaca mesej yang baru sahaja diterima daripada si gadis..

“Andai Allah telah memilih dirimu untukku, aku redha dan akan terus bersama mu, aku juga akan terus pada agama yang ada padamu.”
“Petang ni takde mood nak keluar, sorry……..

Dan minggu depan ayah suruh hantar rombongan.

p/s: Hanya sekadar cerita untuk di ambil sebagai iktibar. Ingatlah, apabila seorang lelaki dan wanita berdua-duaan, syaitan adalah orang yang ke tiga.



Sumber: http://mediapermatangpauh.blogspot.com/

Friday, 30 August 2013

Maniskan Wajah


Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu, "Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?" 

Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." 

Lelaki itu tertunduk. Dia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. 

Umar bin Khattab walaupun jawatannya kalifah, pakaiannya sangat sederhana dan bertampal-tampal. Tetapi sikapnya ramah, wajahnya sentiasa senyum. mukanya berseri. Tak hairan jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Thursday, 29 August 2013

Ceritera: Lelaki, Kucing & Ahli sufi



Telah datang seorang ahli sufi di hadapan rumah seorang lelaki. Ahli sufi itu terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang memukul seekor kucing. Ahli sufi bertanya kepada lelaki tersebut "Kenapa kamu pukul kucing yg lemah ini?" Jawab lelaki tersebut, "Aku telah menjumpainya di sebuah lorong ketika ia dalam keadaan yg tersangat lemah dan kesejukan, kemudian aku mengambilnya dan memberinya makanan serta minuman. Aku pelihara sehingga ia benar-benar sihat, tetapi apabila sihat, ia membuang najis di merata tempat di rumahku."

Kemudian berkatalah ahli sufi "Ini sebenarnya peringatan & tamsilan antara kita dgn Allah. Dia telah memelihara kita sejak dari kecil yang tersangat lemah dan dhaif, lalu Allah beri kita makan, pakaian dan segala-galanya tetapi setelah begitu banyak kebaikan dan nikmat Allah yang kita kecapi, kita derhaka kepadaNya. Lihatlah betapa baiknya dan rahmatnya Allah, walaupun kita derhaka kepadaNya, Dia masih belum menyeksa atau memukul kita dengan azabNya." Kemudian beredarlah ahli sufi dan beristighfarlah lelaki tersebut kerana mengenangkan dosa-dosanya terhadap Allah. Jika ia lambat diperingatkan oleh ahli sufi itu, sudah tentu dipertanggungjawabkan atas kesalahannya di mahkamah Allah kelak kerana percubaan mendera kucingnya.......

Sumber: tranungkite.net

Imam Ghazali: Enam Persoalan Hidup


SUATU HARI, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

Imam Al Ghazali bertanya, pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid -muridnya ada yang menjawab negara Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahwa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak mungkin kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari semua yang ada di dunia ini adalah "nafsu" (Al A'Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka karena ia tidak mampu memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah "meninggalkan Sholat". Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting, kita tinggalkan sholat.

Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Karena melalui lidah, manusia dengan megahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Sekian.

Sumber: tranungkite.net

Monday, 19 August 2013

Imam dan 20 Sen



Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...

Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

Sumber: mr-tazkirah.blogspot.com

Kisah Menarik Bagaimana Loo Jo Yee Binti Abdullah Peluk Islam


Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji al-quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca al-quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan pada waktu itu juga la beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah.

Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

Sumber: amekaw.com

Monday, 22 July 2013

KISAH ASHABUL KAHFI ~ 7 PEMUDA & SEEKOR ANJING TERTIDUR 309 TAHUN

LOKASI GUA ASHABUL KAHFI terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.

Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.

Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul Kahfi

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;
  1. Maksalmina
  2. Tamlikha
  3. Martunus
  4. Bainunus atau Nainunus
  5. Sarbunus
  6. Dzunuanus
  7. Kasyfitatanunus

Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka. Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya;

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)
Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. 

Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan dia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. 

Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah Ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): ”Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)
Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat. Apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung.
Firman Allah; “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)
Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu. Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah.Allah telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. 

Firman Allah menceritakan tentang mereka di dalam gua;
“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11).

Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

“Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18)

Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.“Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;
“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah.

FirmanNya; “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatah lagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi.

“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama. Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. 

Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. 

Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;
“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Sumber: husammusa.com

Friday, 19 July 2013

Sejarah: Kebijaksanaan Nabi Sulaiman AS Menawan Ratu Balqis

Kebijaksanaan NABI SULAIMAN Menawan BALQIS
NABI SULAIMAN (a.s.) adalah salah seorang hamba Allah SWT yang terpilih di antara hamba-hamba Nya yang lain. Baginda diberi kelebihan hikmah dan ilmu dengan dikurniakan mukjizat yang besar dari Allah SWT.

Kebijaksanaan NABI SULAIMAN Menawan BALQIS

Antara mukjizat yang tersebut ialah boleh memahami dan berinteraksi dengan jin dan haiwan. Allah SWT juga telah menundukkan angin kencang untuk membawa Nabi Sulaiman (a.s.) ke sesuatu tempat yang diberkati Nya, menundukkan segolongan syaitan dan segolongan jin supaya berkhidmat kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Semuanya berlaku dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT.

Pada suatu masa dahulu, Nabi Sulaiman (a.s.) dengan kekuasaan Allah telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri dari golongan jin, manusia dan burung-burung. Maka berhimpunlah mereka mengikut tertib dalam barisan masing-masing.

Ketika memeriksa barisan tenteranya dari kalangan burung-burung, baginda menyedari bahawa Burung Hud-hud tidak hadir dalam perbarisan. Baginda berkata bahawa Hud-hud akan dikenakan hukuman atau disembelih sekiranya ketidakhadirannya tanpa alasan yang jelas.

Tidak lama kemudian Hud-hud pun datang dengan membawa suatu berita penting dari negeri Saba yang didakwa Hud-hud, baginda sendiri pun belum pernah mendengarnya. Hud-hud pun berceritalah mengenai Puteri Balqis, pemerintah negeri Saba yang dianugerahi segala apa yang dihajati serta mempunyai singgahsana yang besar.

Hud-hud juga melaporkan bahawa puteri tersebut dan rakyat di bawah naungannya menyekutukan Allah SWT lalu menyembah matahari kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan.

Baginda seraya bertitah kepada Hud-hud, “Akan kami lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta. Pergilah dengan membawa suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”

Maka Hud-hud pun melakukan sebagaimana yang dititahkan oleh Nabi Sulaiman (a.s.) dengan membawa sepucuk surat lalu dijatuhkan kepada Puteri Balqis. Kemudiannya Hud-hud berpaling dan mencuri dengar perbualan puteri dengan para pembesarnya.

Lalu Puteri Balqis berkata, “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang berserah diri ‘.”

Puteri Balqis kemudiannya meminta nasihat dari para pembesar negeri dalam membuat keputusan bagi menentukan tindakan yang sepatutnya diambil. Namun para pembesarnya menyerahkan pertimbangan tersebut di tangan puteri sendiri dengan berkata, “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan”.

Puteri seraya berkata kepada para pembesar, “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.”

Hud-hud pun pulang melaporkan kepada Nabi Sulaiman (a.s.) tentang apa yang telah didengarinya. Utusan dari Puteri Balqis pun tiba kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Baginda kemudiannya membalas utusan dengan mesej berbunyi: “Apakah kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu. Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina”.

Setelah utusan tersebut berangkat ke negeri Saba, Nabi Sulaiman (a.s.) berbincang dengan para pembesar baginda mengenai niatnya untuk membuatkan kerajaan negeri Saba menyerah diri dan seterusnya menerima Islam. Baginda telah mempunyai rancangan yang bijaksana bagaimana hendak membuatkan Puteri Balqis mengaku kalah dengan bukti kebesaran Allah SWT.

“Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?”, tanya baginda.

Pertanyaan tersebut telah disahut oleh sejenis jin yang cerdik bernama Ifrit yang menjawab, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai”.

Jin Ifrit menganggap dirinya benar-benar kuat untuk membawa singgahsana Puteri Balqis dalam kadar yang pantas iaitu sebelum pun nabi Sulaiman (a.s.) berdiri dari keadaan duduknya.

Tiba-tiba seorang hamba Allah dari kalangan manusia yang dikurnia ilmu Allah SWT dari al-Kitab pula menyahut, “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Sebelum sempat mata Nabi Sulaiman (a.s.) berkedip, maka tersergamlah singgahsana Puteri Balqis di hadapan baginda.

Seraya baginda berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal yang cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri hati dengannya. Mereka mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.

Nabi Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk memperlihatkan kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Maka Nabi Sulaiman memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula membangun sebuah mahligai yang dibuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai tersebut dan kelilingnya mengalir sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.

Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu?

Ratu Balqis menjawab: Mungkin!

Dia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit perubahan. Tetapi tidak mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa dengan singgahsananya. Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as bahawa ia adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.

Kemudian Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran air, sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman as melihat betisnya itu, maka tidak ada satu aibpun seperti yang disampaikan oleh golongan jin.

Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca.”

Ketika Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam hatinya: “Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun jika dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak bererti.

Kemudian ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Al-Quran, firman Allah SWT surah An Naml ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam.” Setelah itu Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as. Peristiwa pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada hari Jumaat.

Begitu besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai utusannya.

Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian tanahnya terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika tenteranya berbaris di padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang dari seratus parsakh. Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.

Kemudian golongan jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas dan perak. Pada permaidani tersebut terdapat dua belas ribu mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi daripada emas dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut seorang yang alim dari ulamak Bani Israil.

Pada setiap hari dimasak kira-kira seribu unta, empat ribu lembu dan empat puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga mempunyai piring-piring yang besar bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.

Firman Allah SWT:

“Para jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13)

Begitu besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan dan kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti disediakan tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai dan buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang menyenangkan jiwa dan mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu yang tidak pernah terlintas oleh fikiran manusia.

Dikisahkan bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW di dalam Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih baik, kerana Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari, kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan tanpa ditolak.

Ada Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai keselamatan tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka, kecintaan tanpa permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi kenikmatan yang sukar untuk diungkapkan.

Kemudian Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga kenikmatan. Di dalamnya para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para nabi menjadi sahabatnya, tinggal kekal  dalamnya dengan kurnia yang berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari cantik dan jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.

Syurga Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, tidak membuat kemungkaran serta menjalankan segala yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT menjadikan penghuni Syurga ini sebagai kekasihNya.

Di dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air arak yang lazat rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi berbagai macam buah-buahan. Ada lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim. Ada lagi dua mata air yang mengalir dan dua mata air yang memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya juga diperolehi segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.

Firman Allah SWT:
 “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.” (Al-Qamar: 54-55).

Dipetik Dari Buku: 2002 Misteri Siri 2 “Himpunan Kisah-kisah Jin Iblis & Syaitan
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.

Wallahuakalam (Kebijaksanaan NABI SULAIMAN Menawan BALQIS).

Sumber: iislamku.blogspot.com, guablog.com

Wednesday, 17 July 2013

Masuk Islam Selepas Berpuasa Penuh di Bulan Ramadan

Bennet, wanita yang berasal dari New York dan juga Puerto Rico. "Saya juga seorang keturunan Amerika-Afrika," ujarnya kepada onislam. "Ketika masih memeluk Kristian, saya hanya pergi ke gereja untuk majlis-majlis khusus atau Krismas, dan kemudian terus melakukannya lagi di tahun-tahun berikutnya. "

Sebenarnya pengalaman pertama berpuasa di bulan Ramadan ketika Bennet belum lagi menjadi seorang Muslimah. "Saya telah berlatih puasa satu hari sebelum atau masa sebelum Ramadan. Saya bangun untuk bersahur, mengingat bahawa saya akan berpuasa pada hari itu. Tapi waktu itu bukan padabulan Ramadan. Tapi saya tetap melakukannya ketika itu, "kenangnya.

"Saya kemudian berpuasa dan bekerja sepanjang hari dan semuanya berjalan lancar tanpa makan. Jadi saya mencari cabaran. Kemudian saya memutuskan 'OK, jadi saya putuskan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadan.' Tapi pada ketika itu saya belum lagi menjadi seorang Muslimah. Saya berjaya berpuasa satu bulan penuh. "

Apabila Bennet berjaya berpuasa penuh di bulan Ramadan, Bennet merasakan seperti meraih satu pencapaian peribadi untuk dirinya sendiri. "Saya merasakan kedamaian. Saya merasakan sejenis cinta yang tidak pernah diberikan kepada saya oleh ahli-ahli keluarga saya, "katanya.

Tiga minggu selepas bulan Ramadan, Bennet memutuskan untuk masuk Islam. "Saya masuk Islam pada 13 September 2009. Rasanya seperti hari-hari lain, tapi hari berikutnya saya merasakan sesuatu yang luar biasa. Puasa Ramadan itu sangat mengagumkan, "ujar Bennet.

Sepanjang Ramadan, Bennet melawat ahli keluarganya. "Saya ingin bersama mereka. Saya telah mengamati semua agama lain dan saya tidak mendapatkan perasaan luar biasa, "katanya.

Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com, Wallahu'alam bissawab والله أعلمُ بالـصـواب

Sumber: detikislam.blogspot.com