Untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi, muslim itu mesti selalu meletakkan dirinya di bawah naungan al-Qur'an, kitab yang mulia dengan menikmati petunjuknya dan membenarkannya sehingga dia telah benar-benar berada di atas kebenaran. Dia kerap membaca al-Qur'an dengan merendahkan diri dan cuba memahami isi kandungannya. Dia mengkhususkan waktu-waktu tertentu untuk membacanya, dan tidak pernah terlepas dari waktu itu kerana ini adalah masa untuk dia beribadah dengan membaca kalimah Tuhannya. Dia membiarkan maksud al-Qur'an itu mengalir melalui rohnya, membersih dan mensucikannya, serta meningkatkan hikmah, iman dan rasa selamat dalam dirinya berdasarkan firman Allah S.W.T:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"....(iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd ayat 28).
Muslim itu ingat gambaran indah tentang orang yang membaca al-Qur'an sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah S.A.W supaya muslim itu menghabiskan hari siang dan malamnya dengan membaca Kitab Suci itu serta menikmati maksudnya yang penuh berkat. Baginda bersabda:
"Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Qur'an itu adalah seperti sebiji limau, baunya sangat menyenangkan (wangi) dan rasanya sangat menyegarkan (manis); perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Qur'an itu adalah seperti kurma yang tidak memiliki bau tetapi manis rasanya; perumpamaan orang munafik yang membaca al-Qur'an itu seperti bunga yang harum baunya tetapi rasanya pahit; dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Qur'an itu seperti buah epal mentah, tidak berbau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
"Bacalah al-Qur'an kerana ia akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat kepada si pembacanya." (Riwayat Muslim).
"Sesiapa membaca al-Qur'an dengan fasih akan bersama-sama dengan penyalin yang mulia dan sesiapa membaca al-Qur'an dengan tidak lancar akan mendapat pahala dua kali ganda." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Maka bolehkah mana-mana muslim meninggalkan daripada membaca al-Qur'an dan enggan menghayati maksudnya? Kesimpulannya, dengan demikian tanggungjawab muslim yang sebenar-benarnya terhadap Tuhannya ialah memiliki iman yang dalam, ikhlas, terus-menerus beramal dan berusaha mendapatkan [keredhaan-Nya], menjadi hamba-Nya yang benar dan melaksanakan matlamat kewujudannya sebagaimana friman Allah S.W.T:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Surah Az-Zariyat ayat 56).
Sumber: nukeufo89.blogspot.com, amekaw.com
No comments:
Post a Comment